Dec 8, 2004

Motivasi Diri : Nilai Kesabaran :)

Selawat salam untuk Rasul al Amin, salam kasih buat para sohabiah, tobi’ wa tobie’n dan semua mujahidun yang kental jiwa mendaulahkan Islam yang tercinta. Syukur pada Al Khalik, pencipta teragung atas nikmat Iman dan Islam..nikmat kehidupan yang cantik ciptanya. Salam Eid Mubarak untuk kalian di luar sana. Moga sejahtera dalam kelapangan yang diguna sebijakanya, berteman senyuman dan berbahagia di samping mereka yang tersayang.


Alhamdulillah, kampus kembali dijengah..kembali riuh -rendah dan bermulalah episod baru bagi para pelajar. Kenangan semester lepas pasti akan terimbau tika kaki melangkah semula ke kelas, perpustakaan dan cafe yang sering menjadi tumpuan ramai. Untuk mereka yang berjaya mempertahan keputusan cemerlang, semangat pastinya berkobar-kobar untuk terus kembara di bumi universiti. Selaut harapan direnang ampuh demi kejayaan yang diimpikan. Bagaimana pula dengan sahabat yang kurang bernasib baik? Erm..sabarlah ya. Jika kalian fikir yang kalian tidak seharusnya gagal kerana telah berusaha cemerlang, ketahuilah bahawa ini adalah sebahagian dari cubaan dan mungkin ada silapnya di mana-mana. Buat yang memang tidak memberi tumpuan dan gagal juga beraksi baik, ini adalah pengajaran dek kealpaan sebelum ini. Jadi, usah berlengah kerana masa tak menunggu kita. Allah jua yang tahu di mana kesilapan itu berlaku. Sabar..sabar itu besar nilainya di sisi Allah. Pun ganjarannya berlipatganda. Aku sering suka meneman kalian dengan kalimah ini..Senyumlah! Hati pasti bahagia


Agak sukar untuk menerima hakikat kegagalan bukan? Bayangkan, jika telah berhempas pulas bekerja, akhirnya tak mendapat apa-apa..kita semua pastinya kecewa. Tapi ingatlah bahawa harapan takkan mati kerana selagi nyawa dikandung badan, InsyaAllah kita akan berupaya untuk mengecap nikmat kejayaan. Nilai kegagalan seharusnya dilihat positif, biar kita nampak hikmahnya. Mungkin Allah nak menguji tahap kesabaran yg mahal nilainya. Mungkin juga kita digagalkan kerana salah sendiri, kalau tak usaha manakan dapat? Iya kan? Sabar mendepani tiap cubaan itu kerana dari situ sebenarnya kita akan belajar banyak perkara. Kita mungkin masih berpeluang mendapat C, jika gagal? Kita masih lagi diterima belajar, jika dibuang? Kita masih sempat mendaftar kolej, jika tak sempat pulang ke kampus semula?? Yeah macam2 andaian boleh dibuat dan hakikat kegagalan seharusnya diterima cekal. InsyaAllah..tak rugi kiranya memilih utk tetap bersabar.


Kalam Tuhan banyak membeli hati kita dengan kepelbagaian ganjaran buat yang bersabar. Pasti kita juga inginkan nikmat itu dan pendeknya cuba saja memujuk hati dengan keimanan. Berbaik sangka pada Allah dan teruskan usaha kerana percayalah bahawa Allah takkan uji sesuatu di luar kemampuan kita. Bersabarlah, Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita, pahala pun pasti bertambah. Bersabarlah..mungkin Allah simpankan sesuatu yang lebih baik buat kita di masa akan datang..siapa tahu, sungguhlah bahawa Dia yang Maha Tahu segalanya. InsyaAllah..bersua nanti. Along pohon undur, maaf andainya ada yang tersilap. Wassalam

No comments: